Monday, August 25, 2014

SMART STREAM PETROL STATION

ARKIB : 24/04/2012

Petrol Smart terkenal di luar bandar

BERA 23 April - Smart Stream Resources Sdn. Bhd. (SSRSB), sebuah syarikat pembekalan minyak petrol dan diesel mungkin nama yang asing bagi mereka yang menggunakan bahan bakar kenderaan dari jenama syarikat bertaraf antarabangsa yang mendominasikan bekalan petroleum di negara ini.
Bagaimanapun, penduduk luar bandar terutamanya di tanah rancangan Felda dan Felcra, minyak petroleum jenama Smart sudah tidak asing lagi kerana ia menjadi sumber bekalan kepada mereka menerusi stesen minyak yang dikendalikan oleh koperasi peneroka dan peserta Felcra.
Menurut Pengarah Urusannya, Mohd. Khairuddin Saimon, SSRSB yang ditubuhkan pada 2003 adalah syarikat yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi membekalkan minyak di kawasan tanah rancangan Felda dan Felcra.
Katanya, penubuhan syarikat itu bertujuan mengatasi masalah ketiadaan bekalan bahan bakar di kawasan luar bandar kerana tidak wujud stesen minyak utama seperti Shell, Petronas, Esso, Mobil dan Caltex berikutan permintaan yang sedikit.
''Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan melalui kementerian tersebut melantik beberapa syarikat membekalkan bahan api itu kepada penduduk luar bandar dan SSRSB diberi tanggungjawab memenuhi petrol dan diesel di luar bandar.
''Kami mendapat bekalan tersebut daripada minyak utama dunia, Exxon melalui anak syarikatnya di negara ini iaitu Esso (M) Berhad," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian stesen minyak mini Smart dan kedai Koop 1Malaysia oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Felda Purun dekat sini, semalam.
Jelasnya, selain membekalkan bahan petroleum termasuk minyak pelincir kereta dan motosikal, SSRSB turut menjadi jururunding, pemaju dan membuat reka bentuk serta membina stesen minyak mini.
Katanya, setakat ini syarikatnya telah membina 52 stesen minyak mini di seluruh negara dan 39 stesen minyak itu di miliki dan diusahakan oleh koperasi dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
"Sebelum kehadiran SSRSB, kebanyakan stesen minyak itu dijalankan oleh koperasi setempat tetapi kurang terurus dan keadaannya daif serta tidak mendapat kelulusan berkaitan Akta Pembangunan Petroleum, lesen runcit dan timbang sukat.
"Setelah stesen minyak berkenaan dinaik taraf dan penjenamaan semula oleh SSRSB, ia bukan sahaja kelihatan ceria dan menarik, malah jualan petroleum meningkat antara 20 hingga 50 peratus dan menyumbang pendapatan tahunan koperasi antara 40 hingga 60 peratus," katanya.
Katanya, sehingga kini 26 stesen minyak mini jenama Smart dinaik taraf dengan dilengkapi kedai serbaneka yang dikenali sebagai 'S' mart, koop mart dan kemudahan bayaran bil setempat.
''Dengan adanya kemudahan seperti itu, penduduk luar bandar mendapat manfaat yang amat besar tanpa perlu bersusah payah ke bandar yang jauh bagi mengisi minyak sambil mengurus bayaran bil dan pengeluaran wang di stesen minyak tersebut," katanya.

2 comments:

  1. selamat majujaya smartstream kalau sya nk buka smart petrol kat kelantan boleh kat jeli jln ke dabong

    ReplyDelete
  2. Saya juga hendak buka diAlor Gajah, Melaka. 012-2786282

    ReplyDelete